Gempar orang minyak kembali

on 15 May 2014

Lelaki berkenaan melarikan diri dan terjun melalui tingkap bilik tidur Akmaliza sebelum menghilangkan diri.

MARANG - Kelibat misteri seorang lelaki separuh bogel didakwa orang minyak muncul kembali di daerah ini walaupun ada yang menganggap gangguan itu sudah berakhir dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 42 tahun, Isnin lalu.

Mangsa terbaru, Sh Nor Akmaliza Tuan Ibrahim, 33, mendakwa melihat manusia separuh bogel berada berdekatan katil dalam bilik tidurnya kira-kira jam 5 pagi, Rabu lalu iaitu dua hari selepas lelaki 42 tahun itu ditangkap pasukan rondaan Rakan Muda.

Ibu tiga anak yang tinggal di Jalan Kampung Machang Lada itu berkata, kelibat manusia dipercayai seorang lelaki yang hanya memakai baju dan berseluar dalam tiba-tiba sahaja muncul dan berada berdekatan katil apabila dia tersedar daripada tidur.

“Saya yang terkejut terus menjerit sekuat hati menyebabkan ‘orang’ itu lari menuju ke arah tingkap bilik tidurdan terjun keluar sebelum. menghilangkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Akmaliza berkata, walaupun dia tidak mengalami sebarang kecederaan, namun bersyukur kerana tiada barang dalam rumahnya hilang.

Namun dia kini mengalami trauma dan takut untuk tidur dalam bilik seorang diri.

“Saya bimbang perkara seperti ini berulang kerana suami sering pulang kerja lewat dan dia (suami) biasanya tidur di ruang tamu.

"Kami syak orang yang menceroboh rumah kami masuk melalui tingkap ruang tamu.

"Kami sudah pun buat laporan di Balai Polis Bukit Payung untuk tindakan lanjut dan turut mendapat perhatian Unit Kawalan Kampung (UKK) Padang Midin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mangsa.


Suspek guna 'ilmu'

Suami mangsa, Abdul Hadi Endut, 40, pula tidak menolak kemungkinan lelaki yang menceroboh rumahnya mempunyai 'ilmu' kerana dia berjaya melarikan diri tanpa meninggalkan sebarang jejak dalam tempoh singkat.

Pada Isnin lalu, seorang lelaki berusia 42 tahun diberkas sekumpulan ahli Rakan Muda (Pasukan Kesedaran Jenayah) selepas didapati berkeliaran dalam keadaan separuh bogel di Kampung Machang Lada.

Lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan disahkan mengalami masalah mental.

Ketua UKK Padang Midin, Mohd Alimin Sharom, 30, berkata, pencerobohan terbaru itu menunjukkan lelaki yang diberkas sebelum ini tiada kaitan dengan kes orang minyak.

“Ini bermakna suspek sebenar masih bebas. Kami akan menggandakan usaha rondaan dan berjaga pada waktu malam agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,”katanya.

Turut mengulas perkara sama, Naib Ketua UKK Padang Midin, Mohd Faizul Abdul Rahman, 32, pula menyifatkan perkara itu agak mistik dan langkah berjaga-jaga sentiasa diambil walaupun belum ada penduduk yang dilaporkan cedera akibat kejadian itu.

"Kami berjaga malam untuk memastikan keselamatan kawasan terjamin dan akan sentiasa merujuk kepada pihak polis sebelum ambil apa-apa tindakan jika berjaya mengesan kehadiran 'orang minyak’ itu,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Alor Limbat, Ariffin Deraman turut turun padang menyampaikan sumbangan kepada anggota rondaan UKK diketuai Mohd Alimin.

Beliau berharap, usaha unit rondaan itu dapat membantu pihak berkuasa mengesan suspek yang terlibat dengan segera.

Selain UKK Padang Midin, turut menjalankan rondaan ialah Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin Kuala Terengganu dan Rakan Muda Terengganu.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Apa nak dikisahkan All Rights Reserved