Lima artis terakhir mahu ditemui

on 07 July 2014

KUALA LUMPUR 5 Julai – Ketika dalam keadaan kritikal di Hospital Pakar Damansara KPJ di sini pada Jun lalu, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini sempat menunaikan hajat peribadinya untuk bertemu dengan lima artis tempatan.

Mereka ialah Datuk DJ Dave, Nassier Wahab, Herman Tino, Nash dan Fauziah Latiff.

Menurut Nassier, hasrat itu disuarakan oleh Sharifah Aini dengan menelefon sendiri pengurus artis popular, Mas Omar kira-kira dua minggu lalu.

“Seminggu kemudian, iaitu pada Jumaat (27 Jun) barulah kami berkesempatan bertemu dengannya. Dalam pertemuan itu, memang kelihatan keadaan beliau amat uzur, tetapi Kak Pah kekal tersenyum dan rancak bercakap walaupun dalam keadaan termengah-mengah dan menggunakan wayar bantuan pernafasan di hidungnya.
“Malah, Kak Pah juga berkali-kali meminta maaf kepada kami semua yang datang menziarahinya dan memberitahu bahawa kesakitan yang ditanggung adalah ujian dari Allah bagi meredakan segala dosa yang telah dilakukannya selama ini. Ia adalah pertemuan terakhir yang penuh dengan air mata,” katanya dalam nada sayu ketika ditemui di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, lokasi di mana jenazah Allahyarham dimandikan.

Menurut Nassier, dia sama sekali tidak menyangka itu adalah pertemuan terakhir dengan biduanita berkenaan.

“Dia juga mencium dahi saya dan beberapa kali memeluk kami bagaikan adiknya sendiri, seolah-olah tidak mahu berpisah. Saya secara peribadi menganggap pertemuan kami itu amat bermakna dan tidak pernah menyangka kami dipilih bertemu dengan beliau pada penghujung usianya sedangkan pihak lain tidak semudah itu menziarahi beliau ketika sedang sakit tenat,” katanya.–Utusan
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Apa nak dikisahkan All Rights Reserved