BENARKAH ORANG KURUS ITU CANTIK ?

on 01 October 2014


KURUS atau Langsing menjadi impian semua orang, baik lelaki mahupun wanita. Sering kali cantik itu dikaitkan dengan kurus. Kurus itu cantik. Dua benda yang sangat sinonim. 

Wanita berbadan gemuk dikatakan kurang menarik. Hakikatnya semua orang mahukan tubuh langsing. Ada yang sanggup melaburkan wang beribu-ribu untuk melakukan pembedahan membuang lemak-lemak di badan. Kurus membolehkan mereka berjalan dengan langkah yang bertenaga dan lebih yakin.

Berat 45 kilogram dan ke bawah adalah timbangan yang ingin dicapai bagi golongan berbadan besar. Semakin kurus semakin mereka suka tanpa menyedari keadaan itu akan memudaratkan diri juga. Mereka mengandaikan berat berlebihan adalah tidak cantik dan memalukan.

Keadaan ini sekali gus menyebabkan mereka menjadi seorang yang pasif dan kurang dalam pergaulan, sama ada sesama jantina ataupun berlawanan jantina. Kurus, gemuk dan cantik biasanya menghantui wanita berbanding lelaki.

Diet yang melampau, pil kurus mahupun ke pusat-pusat kecantikan menjadi pilihan mereka yang ingin mendapatkan bentuk badan ideal.

Mereka sanggup berbelanja besar membeli pil-pil tersebut tanpa menghiraukan kemudaratan menanti di kemudian hari. Sudah ramai yang menjadi mangsa, terpedaya, namun sehingga kini tiada orang serik menggunakan bahan-bahan terlarang untuk mendapatkan bentuk tubuh badan ramping.

Jumlahnya tidak pernah berkurangan malah lambakan produk-produk dan pil-pil tersebut menunjukkan bahawa ia mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat.

Pernahkah kita berfikir mengapa saiz S menjadi pilihan si gadis? Tapi dengan pemakanan yang tidak boleh dikawal, bagaimana impian langsing akan jadi nyata?

Makan itu boleh tetapi makan perlu baik. Makan secara baik ini bukan sahaja boleh melangsingkan badan, malah sangat memberi kesan positif kepada kesihatan.

Diet itu perlu bagi sesiapa yang bertubuh gempal melebihi tahap BMI, namun diet yang melampau dan melebihi batas kemampuan badan hendaklah di hentikan dengan kadar segera.

Sihat sepatutnya menjadi matlamat utama dalam usaha menguruskan berat badan dan bukanlah rupa yang cantik semata. Kesihatan itu lebih mahal harganya dari bentuk badan yang cantik. Terdapat beberapa tip atau petua yang mudah untuk kuruskan badan dengan makan yang baik.

Pertama mengelakkan makan makanan ringan seperti kerepek, biskut, jajan dan sebagainya. Ini adalah kerana makanan ringan ini tidak mengandungi sebarang khasiat yang lengkap untuk tubuh badan dan hanya mengandungi karbohidrat dengan kalori berlebihan, di samping pelbagai pengawet dan perasa tiruan yang berbahaya untuk kesihatan.

Kedua pengambilan protein sihat iaitu ‘protein putih’. Kurangkan sumber ‘protein merah’ seperti daging yang kaya dengan lemak tepu. Makanan tinggi protein putih seperti ikan, tauhu, tempe, telur, udang atau sotong. Elok juga dipelbagaikan sumber protein untuk badan kita seperti daripada sumber kekacang.

Ketiga makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Seperti yang kita ketahui buah-buahan dan sayuran hijau mempunyai pelbagai khasiat anti oksidan, mineral dan vitamin untuk tubuh badan.

Keempat, banyakkan minum air kosong atau air mineral. Air kosong membantu membakar kalori berlebihan dalam badan kerana ia adalah berkalori kosong dan ia memerlukan kalori untuk diproses dalam tubuh manusia.

Sentiasa amalkan lapan gelas air kosong sehari. Elakkan minuman manis dan berkarbonat kerana gula dalam minuman mempunyai kalori tinggi dan indeks glisemik yang tinggi.

Kelima amalkan pengambilan suplemen seperti multivitamin, vitamin C, vitamin E, anti oksidan, omega 3, mineral kalsium, magnesium, zink, dan lain-lain. Ini membantu mengekalkan sistem metabolisme tubuh ke tahap yang optimum. Banyak kajian telah membuktikan pengambilan suplemen seperti omega 3 yang boleh menurunkan berat badan.


Petua-petua ini jika diamalkan mampu menyumbang kepada berat badan ideal dan juga kesihatan yang baik. Tidak salah kalau mencuba andai mahukan tubuh badan yang cantik dan sihat.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Apa nak dikisahkan All Rights Reserved