Hotel penginapan merupakan perkara paling penting jika anda ingin bercuti di mana-mana tempat sekali pun. Kali ini kami akan berkongsi hotel-hotel yang menarik dan terbaik bukan sekadar dari segi bintangnya sahaja tapi dari segi kepuasan pengguna, harga,servis dan juga lokasi yang menarik.
Tidak dinafikan, ramai yang gemar bercuti di luar negara, tetapi sebenarnya di Malaysia sendiri, banyak hotel-hotel dan tempat percutian yang menarik untuk anda luangkan masa bersama yang tersayang. Berikut adalah 10 hotel yang patut anda cuba jika anda berhasrat untuk bercuti di dalam Malaysia.
10. Hotel Tanjung Rhu Resort, Langkawi
Hotel Tanjung Rhu Resort ini pasti akan memberi anda kepuasan berada di sini. Hotel ini mempunyai pantai peribadi mereka tersendiri dan tidak boleh di kongsi oleh orang luar. Bagi mereka yang mahukan ketenangan dan masa peribadi bersama pasangan ataupun bersama keluarga, ini adalah tempat terbaik untuk anda.
Hotel ini mempunyai 136 bilik dan 3 kolam renang berlainan dan anda boleh memilih sama ada ingin mandi di kolam renang atau pun di pantai.
Di bilik pula, anda akan terasa dimanjakan kerana semua kemudahan benar-benar mewah. Contohnya, langsir dan pelapik tempat duduk anda dibuat dari sutera Thai dan kain kapas India manakala bilik air anda pula besarnya seluas bilik tidur.
Kedudukan pantai yang berdekatan hotel ini pula betul-betul mengadap ke arah matahari jatuh membolehkan anda melihat panorama matahari jatuh dari balkoni hotel.
Harga: Rm700 - Rm4800
9. Somerset Ampang, Kuala Lumpur
Hotel Apartmen Somerset Ampang merupakan antara pilihan terbaik jika anda berkunjung ke Kuala Lumpur kerana kemudahan dan permandangan yang disediakan amat menarik.
Hotel ini mempunyai kolam renang infiniti(luas) yang cantik di atas bumbungnya dengan permandangan kota metropolitan Kuala Lumpur. Di dalam bilik anda di sediakan segala kemudahan seperti di rumah contohnya Microwave, pembakar roti dan mesin basuh.
Harga: Rm500 - Rm2600
8. Hotel Tanjung Jara Resort, Terengganu
Hotel Tanjung Jara Resort yang terletak di Dungun Terengganu merupakan hotel yang di bina dengan konsep istana melayu zaman silam dan terletak di kawasan yang terpencil tanpa kesibukan kota.
Hotel ini amat sesuai bagi mereka yang ingin berdua-duan dengan pasangan dan juga ingin merasa pengalaman ibarat percutian raja melayu silam ketika berbulan madu.
Harga Rm450 - Rm2600
7. Hotel Shangri-La Golden Sands Resort , Penang
Hotel di Batu Feringgi amat selesa walaupun pantainya tidak secantik pantai hotel-hotel terkemuka lain. Namun begitu ia mempunyai peminat tetapnya sendiri kerana layanannya yang istimewa.
Pada setiap hari, hotel ini mempunyai aktiviti untuk tetamu seperti sessi tai chi dan aktiviti di kelab kanak-kanak. Jika anda tidak mahu bertai-chi, anda boleh mengikuti kelas memasak dan anak remaja anda pula boleh berkenalan dengan tetamu lain sewaktu permainan boling kelapa. Hotel ini sesuai bagi mereka yang ingin bercuti dan dalama masa yang sama ingin melakukan aktiviti riadah.
Harga Rm600 - Rm3300
6. Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur
Apa yang membezakannya dari hotel 5 bintang lain adalah layanan. Jika pasangan atau anak anda masih tidur sewaktu sarapan pagi disediakan, anda akan diberikan bekas untuk membawa balik makanan ke bilik. Untuk minum kopi, mesin ekspresso disediakan di bilik dan jika anda ingin bersenam, gym yang ada di sini mungkin lebih lengkap dari banyak gym berbayar di Kuala Lumpur.
Disebabkan mereka bilik dan suasana hotel ini terlalu selesa, ramai pelancong asing yang tidur di hotel ini mengaku yang mereka sebenarnya menghabiskan lebih banyak masa di dalam hotel ini berbanding keluar melihat Kuala Lumpur.
Harga Rm430 - Rm2300
5. Hotel Shangri-La Ria, Kota Kinabalu, Sabah
Hotel yang menggunakan moto 'Selamat Datang Ke Syurga' yang mempunyai keluasan tanah lebih 400 ekar ini adalah milik jutawan Malaysia iaitu Robert Kuok. Hotel yang terletak di Borneo ini bukan sahaja mempunyai padang golf tetapi juga hutan simpan dan pusat pemuliharaan orang utan sendiri.
Jika anda sukakan hutan, haiwan dan adventure, resort ini cukup sempurna untuk anda. Di sini anda bukan sahaja boleh menunggang kuda dan mengendalikan kenderaan lasak, tetapi anak anda juga boleh bermesra dengan anak orang utan sewaktu anda melakukan riadah melancong.
Apabila senja tiba, anda dan pasangan boleh menjamu selera berdua dengan romantis di gazebo ditepi pantai. Layanannya pula istimewa kerana anda akan dilayan oleh pelayan peribadi yang ditugaskan untuk menjaga anda.
Harga Rm 740 - Rm 1500
4. Hotel The Datai, Langkawi
Terletak di antara hutan hujan Gunung Mat Chincang dan laut Andaman, ia adalah penginapan berstatus hotel 5 bintang dan mewah pilihan tetamu luar negara yang berpoket tebal.
Setiap villa pantainya (RM 8,000 satu malam) mempunyai kolam renang peribadi, sebuah tub mandi yang boleh memuatkan sekurang-kurangnya 3 orang dewasa dan chef peribadi yang akan bertandang ke villa anda untuk menyediakan makan malam anda.
Di sini pihak hotel turut menyediakan perahu layar untuk digunakan oleh anda secara percuma jika anda menyewa di sini.
Harga RM 3,000 - RM 37,000
3. Hotel Four Seasons Langkawi
Di hotel mewah ini, tidak wujud istilah bilik-bilik standard. Sebaliknya, apa yang ada hanyalah bilik yang diberikan nama Lower Malaleuca pavillion dan Pertial Seaview, villa persendirian yang sangat luas dengan harga yang sama.
Apabila anda membuka pintu villa, apa yang menunggu anda adalah pantai putih yang luas dan desiran ombak dari laut Andaman.
Hotel ini menyediakan pelbagai kemudahan seperti servis bilik 24jam dan juga urutan spa di bilik dengan harga RM 400 sejam.
Harga RM 7,740
2. Hotel The Danna Langkawi
The Danna Langkawi, hotel ini adalah penginapan eksklusif yang membolehkan anda bersarapan pagi sambil melihat bot-bot mewah berlabuh, atau merasa keajaiban berenang di kolam infiniti(luas) 3 tingkat yang terbesar di Pulau Langkawi.
Resort 5 tingkat dengan 125 bilik ini memang direka untuk memberikan anda suasana ala British yang cukup eksklusif.
Selain pemandangan Marina Telaga Harbor, anda juga boleh meminta bilik dengan pemandangan gunung, hutan hujan tropika ataupun Pantai Kok yang mengujakan.
Apabila tiba, anda akan diberikan servis urutan bahu dan kepala percuma. Dan untuk mengubat rasa sedih anda apabila percutian anda berakhir, seorang pelayan akan menghidangkan teh halia dan memberikan anda coklat sebagai hadiah perpisahan.
Harga RM 1,100 - RM 10,500
1. Hotel Casa Del Mar, Pantai Cenang, Langkawi
Anda mungkin terkejut kerana hotel tempat pertama di sandang oleh hotel butik kecil dengan hanya 34 bilik iaitu hotel Casa Del Mar di pesisir Pantai Cenang, Langkawi.
Hotel ala-Sepanyol ini mempunyai ramai pelanggan tetap dari luar negara bukan kerana biliknya yang hebat atau kemudahannya banyak tetapi kerana ia dikatakan mempunyai layanan terbaik di Malaysia.
Di sini tuala anda akan disejukkan dahulu sebelum diberi apabila anda berehat di luar, buaian hammock disediakan di setiap bilik dan air tembikai sejuk akan dihantar kepada anda sewaktu anda sedang bersantai di tepi pantai.
Jika anda ingin tahu sendiri bagaimana layanan hotel terbaik di Malaysia ini jangan lupa berkunjung ke Casa Del Mar sewaktu ke Pulau Langkawi.
Harga RM 850 - RM 3,000
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment