Pernah dikaitkan dengan aktor seberang, Baim Wong, Aishah Ilias baru-baru ini menerima tempias baharu pula apabila dikatakan menjalinkan hubungan dengan jurugambar produksi drama yang juga bapa kepada pelakon remaja popular.
Jurugambar yang dimaksudkan pernah menjalinkan hubungan dengan seorang pelakon sebelum ini. Tetapi cerita itu berlalu sepi. BH Online menghubungi bintang yang pernah berlakon filem Paku itu sebentar tadi untuk mendapatkan penjelasan mengenai cerita yang bertebaran membabitkan beliau dan jurugambar produksi drama Cinta Ibadah itu.
Ikuti penjelasan gadis tinggi lampai berdarah kacukan Arab-India di sebelah ibu dan Cina-Jawa di sebelah bapa ini.
"Demi Tuhan, berita ini memang tidak benar. Saya nafi sekeras-kerasnya kalau ada yang mendakwa saya bercinta dengannya. Hubungan kami tak lebih sekadar kawan profesional. Tambahan pula kami sudah lama berkampung sama di set penggambaran drama berkenaan. Sejak hujung Februari lalu lagi.
"Hubungan itu jadi rapat sebab dia sudah berpengalaman. Tambahan pula drama-drama ini saya membawakan dua watak berbeza iaitu Rina dan Siti. Jadi dia banyak membantu saya terutamanya dalam menentukan sudut terbaik sekali gus membezakan dua karakter yang dibawa supaya tak nampak sama," tegas Aishah.
Hakikatnya menurut Aishah, dia pernah mengenali seorang lelaki biasa tahun ini ketika sibuk di lokasi penggambaran drama Cinta Ibadah. Namun hubungan itu tak bertahan lama.
"Mana nak tahan...sebab dia tak biasa dengan cara kerja saya. Balik lewat pagi tetapi pagi esoknya sudah perlu ke lokasi penggambaran pula. Kalau ada calon lain, mungkin awak boleh carikan," katanya.
Mengenai drama Cinta Ibadah yang dilakonnya, Aishah menjelaskan penggambaran masih berterusan. Selain Aishah, drama yang bakal bersiaran 8 September depan menerusi siaran Astro Prima dan Astro HD ini turut dibintangi Fatah Amin dan Raja Ilya.
"Drama itu asalnya mahu dibikin sebanyak 130 episod. Sekarang 30 episod pun belum siap lagi dan dijangka November depan baru selesai 30 episod itu. Saya dapat tahu pihak Astro mahu menambah episodnya menjadi 200 pula," katanya mengenai drama arahan Ali Mustafa itu.
Di akhir perbualan, Aishah turut ditanyakan mengenai pencalonan kategori Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26. Aishah dilihat antara yang agak menyerlah ketika melakonkan watak Riana dalam filem Paku tetapi namanya tidak dicalonkan.
Calon akhir FFM ke-26 ialah Cristina Suzanne, Uqasha Senrose, Nelydia Senrose, Siti Saleha dan Nadia Aqilah.
"Saya tak ralat tidak berada dalam top 5. Filem ini pun tak dapat kutipan pecah panggung pun. Ramai pun tak sedar kehadiran saya dalam filem itu. Saya masih baru. Baru dua tahun berkecimpung. Lagipun ramai pelakon wanita yang hebat di negara kita," katanya yang masih menanti tayangan filem, Pilot Cafe dan Usin UFO.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment