Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Itu yang boleh GUA katakan kepada Shila Amzah. Tindakan Shila atau pihak yang mewakili dirinya ternyata memakan diri sendiri. Mungkin ada pihak yang menganggap wartawan hiburan mudah melatah apabila dicuit oleh artis ini, tetapi itu bukan isunya.
Isunya adalah kebiadapan Shila terhadap media berbahasa Melayu yang selama ini tidak pernah jemu memberi sokongan kepadanya. Hanya kerana konsert sulungnya, ‘Shila Amzah Love Live In Malaysia’ tidak mendapat publisiti meluas di media-media berbahasa Melayu, Shila terus menempelak tanpa usul periksa. Hakikat yang sebenarnya, media berbahasa Melayu tidak mendapat undangan daripada pihak penganjur, Mega Ultimate Sdn Bhd, mahupun pihak pengurusan Shila sendiri!
Dek keterlanjuran yang tidak sepatutnya berlaku itu, kini fakta kurang enak tentang penganjuran konsert ‘gah’ itu mula didedahkan. Jika sebelum ini pasti ramai yang tidak tahu konsert yang diadakan di Dewan Mega Star Arena, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur mendapat tajaan daripada syarikat perjudian nombor satu negara, kini sudah ramai yang maklum.
“Oooo, patutlah, media Melayu tak dijemput” – itu ayat yang keluar daripada mulut seorang pembaca akhbar Kosmo yang duduk di sebelah meja GUA ketika bersarapan pagi tadi.
Jadi, apa kebaikan atau faedah yang Shila dapat daripada kecetekkan akal fikirannya itu? Bukankah hanya menjerat diri sendiri? Selepas ini jangan melatah atau meroyan jika ada pula pihak yang dengan berani mengatakan duit bayaran yang anda terima itu tidak halal kerana diperolehi daripada sumber yang sah-sah tidak dibenarkan dalam Islam.
Bagai yang telah dijangka, memang ramai peminat fanatik penyanyi ini tampil mempertahankan Shila. Itu lumrah apabila seseorang penyanyi menjadi pujaan. @shilaamzah_photography berusaha mendapatkan salinan buku kehadiran pihak media yang menghadiri konsert itu.
Apa yang boleh GUA katakan, tindakan memuatnaik gambar ‘bukti’ itu tidak membawa sebarang makna kerana segalanya sudah kacau-bilau. Senang cerita, wartawan akhbar Melayu yang menghadirkan diri itu adalah pihak yang terpaksa mengemis meminta tiket atau pas masuk ke konsert.
Bagi pihak GUA, bukan tidak mencuba, tetapi panggilan telefon kepada orang terdekat dengan penyanyi ini tidak berjawab. Begitu juga ketika GUA cuba mendapatkan maklumat tentang konsert Shila di China, tidak mendapat kerjasama yang diharapkan. Niat GUA hanya ingin berkongsi kejayaan demi kejayaannya di sana, tetapi apakan daya, pihak Shila yang tidak berminat untuk berkongsi.
Jadi, tak perlu susah-susah buat penjelasan. Shila pun tidak perlu repost apa-apa yang peminat fanatik anda cuba tegakkan. Jangan terlalu bangga punya peminat fanatik, kerana mereka bukan hanya mampu membuatkan anda tersenyum, tetapi mereka juga boleh membuatkan anda menangis teresak-esak! Nasihat GUA, sebelum repost apa-apa, cuba tapis dengan sebaik-baiknya.
Persoalannya, adakah Shila mengakui kesilapannya itu? Jika melihat kepada kemas kini akaun Instagram miliknya, GUA ragu-ragu penyanyi ini berasa terpukul.
sumber:gua.com.my
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment