Kisah Hidup Bersama Mayat Kekasih Selama 7 Tahun!

on 30 September 2014

PELIK TAPI BENAR Kebanyakan manusia normal apabila kehilangan seseorang yang dicintai selalunya akan mencari pengganti lain.


Mungkin berikrar untuk hidup keseorangan sehingga akhir hayat semata untuk menunjukkan kesetiaan atau mati secara tiba-tiba akibat strok di sisi mayat isteri yang meninggal akibat barah di atas katil hospital yang walaupun kedengaran tidak logik namun harus terjadi kerana perlu mengikut skrip (ok, ini hanya terjadi di dalam drama Tentang Dhia). Namun tidak bagi Carl Tanzler.

Carl Tanzler dilahirkan pada 1877 di Dresden, Jerman dan kemudiannya berpindah ke Florida pada tahun 1927 bersama isteri dan dua anak perempuannya. Beliau kemudiannya berkerja sebagai pakar radiologi di United States Marine Hospital di Key West.

Di sana, beliau ditempatkan di wad tibi, suatu urusan yang agak mengerikan memandangkan kadar kematian yang tinggi bagi penyakit tersebut berbanding hari ini. Boleh difahamkan bahawa bagi seorang manusia normal sekalipun untuk menghadapi kematian pada setiap hari merupakan sesuatu yang sangat menggugat emosi dan berbahaya, lebih-lebih lagi bagi seorang Carl Tanzler yang boleh dikira tidak betul juga kepalanya sikit-sikit.

Beliau mendakwa berpengetahuan dalam teknik pengubatan yang baru dan belum diuji untuk menyembuhkan pelbagai penyakit, di samping mempunyai kelayakan dan sijil yang tidak disokong dan tidak diiktiraf. Beliau juga didakwa tidak pernah menjalani apa-apa pendidikan perubatan secara formal.

Bukan itu sahaja, malah beliau mendakwa pernah dikunjungi nenek moyangnya yang telah lama meninggal yang menunjukkan beliau satu visi tentang seorang wanita cantik berambut hitam yang akan menjadi cinta sejatinya.

Pertemuan Dengan Helen




Walaupun telah berumahtangga, Tanzler percaya beliau telah menjumpai cinta sejatinya apabila beliau bertemu Maria Elena Milagro “Helen” de Hoyos pada April 1930, yang biasa dipanggil Helen atau jika anda sudah biasa dalam dunia blogging, panggil Maria Elena juga boleh. Heheh.

Helen merupakan pesakit tibi yang berdasarkan gambar di atas, memang.sangat.gojes.amat dan berada dalam keadaan kritikal. Tanzler berikrar untuk menyelamatkan Helen walau dalam apa jua cara sekalipun, dan keluarga Helen yang sudah terdesak bersetuju untuk membenarkan Tanzler menggunakan rawatannya yang pelik dan belum teruji dari penggunaan ubat-ubat herba hinggalah rawatan x-ray.

Tanzler meluahkan cintanya kepadanya Helen, memberi beliau bermacam-macam hadiah, namun tiada bukti menunjukkan Helen menerima semula cinta Tanzler dalam apa cara sekalipun. Namun Tanzler tidak berputus asa, malah beliau seolah-olah percaya bahawa dengan menyembuhkan penyakitnya, Helen tidak mampu untuk berkata tidak untuk menolak cintanya.

Kematian Helen

Walau bermacam-macam usaha yang telah dilakukan, Helen akhirnya meninggal dunia pada tahun 1931. Kemudian Tanzler membina makam untuk Helen dengan kebenaran keluarga Helen dan bermula dari situlah kelakuan cinta Tanzler semakin bertambah pelik.

Keluarga Helen tidak mengesyaki apa-apa dengan kelakuan Tanzler yang sering mengunjungi makam tersebut namun apa yang mereka tidak ketahui ialah usaha Tanzler yang tidak penat lelah untuk mengekalkan mayat Helen dalam keadaan stasis.

Beliau memelihara mayatnya dengan formaldehyde, dan dalam dua tahun berikutnya menemani mayat Helen setiap malam dan berbual panjang bersama beliau. Beliau juga memasang telefon di situ supaya beliau masih boleh menghubungi mayat Helen walaupun beliau tiada di situ.

Jika masa kini pasti Tanzler sudah membuka akaun Facebook atau Twitter untuk Helen dan berpura-pura membalas komen atau retweet bersama Helen. Beliau juga dilaporkan mendakwa sering dikunjungi roh Helen yang memberitahunya supaya memindahkan mayatnya.

Pada 1933 akhirnya beliau mencuri mayat Helen dari kuburnya dan membawanya pulang ke rumah. Pada masa tersebut Helen telah meninggal selama dua tahun dan beliau berjuang habis-habisan untuk melawan pereputan mayatnya.

Beliau menggunakan berbaldi-baldi bahan pengawet untuk mengekang penguraian dan mencurah berbotol-botol minyak wangi untuk melawan bau daging mayat Helen yang sudah mereput itu. Namun semuanya tidak berkesan dan mayat Helen berterusan mereput.

Walaupun begitu, beliau tetap terus berusaha menjalinkan perhubungan, seolah-olah hidup bersama dalam suasana bahagia, malahan turut memainkan lagu-lagu untuk mayat Helen melalui piano.






Semakin teruk pereputan mayat Helen, semakin ekstrem kaedah yang digunakan Tanzler untuk memelihara mayat tersebut.

Beliau menggunakan wayar piano untuk menyambung tulang-tulang pada mayat tersebut dan apabila mata beliau mula mereput, Tanzler menggantikannya dengan replika kaca. Kulitnya mula mereput dan jatuh, dan beliau menggantikannya dengan campuran pelik ciptaannya sendiri, iaitu sutera yang direndam bersama lilin dan plaster.

Untuk setiap bahagian badan beliau yang mula mereput, Tanzler cuba memeliharanya sedaya upaya namun lama-kelamaan mayat tersebut berubah daripada wanita yang dicintainya menjadi semacam anak patung yang mengerikan, melambangkan kesedihan hidup mayat Helen tersebut.

Badannya terurai kerana organnya mula mereput, dan Tanzler mengisi perut dan dadanya dengan kain buruk untuk mengekalkan bentuknya. Rambutnya jatuh dan beliau menggantikannya dengan rambut palsu. Beberapa laporan mendakwa beliau memasang satu tiub yang bertindak sebagai kemaluan palsu pada mayat Helen dengan tujuan Tanzler untuk, err..berjimak.

Tanzler Ditangkap

Namun percintaan romantik antara Tanzler dan mayat Helen tersebut berakhir tujuh tahun kemudian iaitu pada tahun 1940, apabila kakak Helen yang mengesyaki Tanzler memecah masuk rumahnya sebelum menjumpai mayat Helen yang sudah berupa barbie dollhendaknya, memakai pakaian kepunyaan Helen.

Tanzler ditangkap dan didapati masih waras untuk dibicarakan namun akhirnya dilepaskan kerana kekurangan akta dalam undang-undang.




Kisah beliau yang pelik dan mengerikan itu mendapat liputan luas media, namun reaksi orang ramai adalah sebaliknya yang kebanyakannya bersimpati terhadap Tanzler. Orang ramai beranggapan Tanzler merupakan seorang yang ‘eccentric romantic‘, mungkin juga kehilangan arah, namun masih perlu diberikan simpati.

Mayat Helen telah diperiksa oleh doktor dan ahli patologi dan kemudiannya dipaparkan kepada orang ramai yang dihadiri oleh beribu pengunjung. Mayat Helen dikebumikan di satu perkuburan rahsia yang masih tidak diketahui hingga hari ini, mungkin bertujuan untuk mengelak Tanzler daripada senyap-senyap mencuri semula mayat tersebut.



Walaupun kehilangan mayat Helen, obsesi Tanzler tidak pernah berkurang. Beliau mencipta satu patung untuk mengganti mayat tersebut dan memakaikannya pakaian kepunyaan Helen.

Dari sini dapatlah diketahui bahawa patung yang menjijikkan dan mengerikan yang menggantikan Helen itu adalah lebih penting bagi Tanzler daripada realiti seorang wanita cantik bernama Helen itu sendiri, yang tidak pernah membalas cintanya semasa beliau masih hidup. Tanzler menghabiskan sisa hidupnya bersama patung tersebut.

Tanzler meninggal pada tahun 1952 di rumahnya.

Ya, kisah ini memang kedengaran mengerikan dan menjijikkan kadang-kadang dan tidak boleh disangkal bahawa Tanzler merupakan seorang gila, delusional dan syok sendiri tahap maut. Namun sekurang-kurangnya kita masih boleh bersimpati dengan beliau yang sangat setia dengan orang dicintainya dan tidak boleh membayangkan hidup tanpanya, walaupun cara beliau mencintai itu seperti luar tabii dan berkeadaan delusi.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Apa nak dikisahkan All Rights Reserved