'Cemburu Itu Pasti Ada' - Gayatri Ulas Gandingan Zul Ariffin & Ayda Jebat

on 02 September 2014

Penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai meluahkan rasa bangga terhadap kekasih hatinya, pelakon Zul Ariffin kerana dia semakin mendapat tempat di hati penonton setelah muncul dalam drama bersiri slot Akasia TV3, ‘Rindu Awak 200%’.
“Saya rasa sungguh gembira untuk dia kerana drama bersiri itu sedikit sebanyak telah menaikkan namanya. 

Saya rasa dia bekerja keras dan fokus untuk mencapai apa yang dia mahukan. Bila dapat sambutan sebegini, saya rasakan bagus untuk perkembangan karier Zul,” ujar Gayatri ketika ditemui GUA.

Bercakap mengenai gandingan Zul dengan pelakon baru, Ayda Jebat dalam drama bersiri itu, ramai peminat di luar sana terkesan dengan keserasian mereka. Malahan ada di antara peminat mahu Zul dan Ayda bercinta di alam nyata. Adakah wujud perasaan cemburu Gayatri melihatkan kepada situasi ini?


“Saya rasa sebagai perempuan, cemburu itu pasti kena ada. Lelaki pun sama, perasaan cemburu itu memang ada. Kalau kita tak ada perasaan cemburu itu, nampak seperti kita hati kering pula. Setiap pasangan pasti cemburu.

“Tapi dalam masa yang sama, kita kena harus faham, itu yang sememangnya harus ditunjukkan dalam setiap lakonan. Orang di luar sana akan jatuh cinta dengan karakter yang dibawa, jadi jika ada orang berkata seperti itu, drama tersebut boleh dikira sebagai berjaya,” katanya ketika ditemui di Majlis Pengumuman Calon Akhir Festival Filem Malaysia 26 (FFM26) di Studio Sound Stage Finas, Hulu Klang baru-baru ini.

Mengulas mengenai filem terbitannya, ‘Penanggal’ yang berjaya mendominasi pencalonan akhir FFM26, Gayatri tidak menjangkakan yang filem tersebut berjaya mendapat sehingga 15 pencalonan.

“Saya berharap yang filem ini mendapat pencalonan untuk beberapa kategori. Tak sangka pula filem ini berjaya mendominasi pencalonan akhir sehingga dapat masuk 15 kategori. Tahniah diucapkan kepada semua tenaga produksi yang terlibat menjayakan filem ini. Apa pun, saya berharap yang terbaik kerana filem ini ada kekuatan tersendiri dan filem ini juga merupakan kolaborasi pertama antara Astro Shaw dan Grand Brilliance,” ujar Gayatri mengakhiri perbualan
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Apa nak dikisahkan All Rights Reserved